Friday, June 18, 2010

Aku dan Pertunanganmu

Post kali ini, saya hanya ingin berkongsi dengan anda gambar pertunangan adik perempuan saya yang telah berlangsung pada 13 Mei 2010. Post sebelum ini mungkin terlalu formal untuk dibaca, tapi post ini saya ingin santai sedikit.. hihi


Upacara yang berlangsung ini merupakan perbincangan di antara dua belah pihak tentang
penerangan jumlah hantaran yang dipersetujui termasuklah wang tunai serta perkara yang lebih besar ialah penetapan tarikh pernikahan.



Setelah perbincangan selesai, upacara seterusnya menyarungkan cincin pertunangan yang disarungkan sendiri oleh ahli keluarga rapat pihak lelaki seperti mak kandung atau mak saudara.



Gambar adik perempuan saya yang memegang album yang berisi wang hantaran dan
saya yang memegang hadiah pelangkah sebagai tanda "respect" ( sukenyerr )



Barisan hantaran daripada pihak lelaki dan perempuan yang berbentuk pakaian, makanan, buah-buahan dan sebagainya.


Inilah gambar adik beradik saya.


Gambar kenangan di pentas mini yang direka oleh kami 4 beradik. (macam tak kukuh jer)

Selepas jer peristiwa pertunangan ni banyak komen yang saya terima, antaranya " abang bile lagi??".. InsyaAllah ade jodoh tak akan ke mana..

Sumber Dari:-
tangan_keedal

Gambar Dari:-
Mohd Rodi Bin Md Nor

Stress dan makanan

Salam.. terima kasih kepada anda yang memberikan cadangan untuk blog ini, dan hari ini saya memilih tajuk yang bertemakan kesihatan untuk dikongsi bersama.

Tentu dikalangan daripada kita semua tidak terlepas dari masalah dan mengalami tekanan(stress). Bagaimana anda menanganinya?? Mungkin dengan beramal ibadat serta berdoa, berjumpa penasihat motivasi, atau mungkin bercuti merehatkan minda, dan sbgnya.

Sebenarnya, pemakanan yang seimbang juga mampu membantu anda mengurangkan stress. Ini kerana makanan yang baik mengandungi vitamin dan mineral yang membantu menurunkan stress anda.

Perubahan yang berkait dengan stress adalah:-
  • Meningkatnya hormon stress "adrenaline" dan "cortisol"
  • Meningkatnya kandungan gula dalam darah "blood sugar" dan kolestrol "cholesterol
  • Meningkatnya denyutan jantung "heart rate" dan tekanan darah "blood pressure"
  • Sistem pernafasan menjadi pantas
  • Pengumpulan toksin seperti karbon dioksida dan "lactates" ( garam atau asid laktik )
  • Emosi berubah mengikut perubahan kimia di dalam otak.
Makanan yang perlu DIELAK ketika stress adalah:-

Teh, Kopi, dan Koko kerana minuman seumpama ini mengandungi kafein, menyebabkan kurang tidur kerana minuman ini membuatkan anda berjaga,dan lebih buruk lagi ianya boleh mendatangkan "peptic ulcer" ketika anda mengalami stress ini.

Elakkan makanan ringan atau makanan segera, Walaupun ianya enak dimakan tetapi kandungan diet seperti protein, lemak, karbohidrat tidak berada dalam bahagian yang betul dan tidak mengandungi vitamin dan mineral yang diperlukan, kerana stress memerlukan tenaga (energy), vitamin, mineral serta diet yang sesuai.

Elakkan memakan kuning telur kerana kandungan kolestrolnya sangat tinggi, serta makanan lain seperti mentega, keju, minyak kelapa, gajus, kacang "almonds" dan daging kerana di atas sebab yang sama.

Minuman ringan perlu dielakkan kerana ianya mengandungi kandungan gula yang tinggi dan tidak elok bagi mereka yang mengalami stress kerana kandungan gula mereka sudah tinggi dan boleh menjurus kepada diabetis, minuman ringan juga mengandungi Sodium benzoate yang perlu dielakkan juga oleh mereka yang mengalami tekanan.









Makanan yang perlu DIAMBIL ketika stress:-


Pengkaji kesihatan telah menunjukkan bahawa vitamin B complex, C dan E serta mineral seperti "manganese" (magnesium), "selenium" dan "zinc" dapat membantu mengurangkan stress. Makanan yang kaya dengan vitamin serta mineral ini perlu ada didalam diet pemakanan mereka yang mengalami stress.

Makanan yang baik ini adalah:-

Sayur dan buah buahan yang segar yang kaya dengan vitamin dan mineral, amalkan pengambilan sayuran dari variasi warnanya seperti warna hijau, kuning, oren, yang terdapat pada sayur, tomato, dan karot kerana kaya dengan vitamins dan mineral. Sayur juga mengandungi fiber untuk membantu sistem pencernaan.

Yogurt mengandungi mineral termasuklah kalsium, ianya juga dapat meneutralkan asid "peptic ulcer" yang disebabkan oleh stress.

"Skimmed Milk" ( susu rendah lemak ) mengandungi kurang dari 3% lemak dan amat sesuai diambil ketika stress dan kandungan "tryptophan" membantu menstabilkan mood kepada orang yang stress.

Ikan seperti ikan mackerel dan tuna mengandungi omega yang baik untuk melindungi jantung daripada penyakit jantung yang berpunca dari gejala stress. dan ikan juga mengandungi "Choline" ( vitamin B complex ) yang membantu untuk menguatkan memori.

Tepung gandum dan yis mengandungi vitamin B complex termasuklah "pantothenic acid" yang bertindak seperti vitamin anti-stress. Vitamin C yang bertindak sebagai anti-oksida yang terdapat didalam buah-buahan segar, brocolli, gooseberry, kentang.
Bijirin, "spinach pumpkins" dan coklat dapat menenangkan orang yang stress.









Jadi selepas ini, tangani stress anda dengan betul, dan amalkan pemakanan yang seimbang terutama sekiranya mengalami gejala stress.

Sumber Dari:-
http://www.stressfocus.com/stress_focus_article/food-and-stress.htm
http://www.stressfocus.com/stress_focus_article/stress-reduction-by-food.htm
http://medical-dictionary.thefreedictionary.com/

Gambar Dari:-
aimiafoods.com
cosmeticsurgeryandbeauty.com
swfsc.noaa.gov
http://www.google.com.my/images

Thursday, June 17, 2010

Adakah Duit Bersiri??

Sukar juga untuk mencari idea menulis blog ini. Saya hari ini cuba mencari gambar bendera Malaysia untuk di muatkan di dalam blog ini, kemudian saya melihat gambar benda yang menarik dan ianya selalu dengan kita. Benda yang saya maksudkan itu adalah Duit, kita selalu melihat duit, tetapi tahukah kita akan sejarahnya??

Menurut sumber daripada Bank Negara Malaysia, terdapat 4siri cetakan duit sehingga tahun 2007.
Duit siri yang pertama telah dicetak dan telah dikeluarkan pada tahun 1967, sejak dari tahun itu terdapat pelbagai perubahan dari segi ejaan, modifikasi di dalam rekaan duit, tandatangan Gabenor, perubahan dari ciri keselamatan dan sebagainya.
Setiap daripada siri ini pula terdapat wajah Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan dan juga merupakan Yang Di-Pertuan Agong yang pertama iaitu Tuanku Abdul Rahman Ibni Almarhum Tuanku Muhammad. Baginda memerintah pada 31 Ogos 1957 sehingga kemangkatannya pada
1 April 1960.
  • Siri 1 - Jenis 1 ( Tahun 1967 - 1972 )
Duit pada siri ini telah tercetak tandatangan Gabenor kedua iaitu Tun Ismail Bin Mohamed Ali, dan setiap dari duit menggunakan ejaan Melayu lama seperti "Di-perlakukan", "Gabenor"dan perkatan "Sa" untuk "SA-PULOH", "SA-RATUS", dan "SA-RIBU"
  • Siri 1 - Jenis 2 ( Tahun 1972 - 1976 )
Ianya masih tercetak tandatangan Tun Ismail bin Mohamed Ali, tetapi ejaan "Diperlakukan", "Gabenur", "Sepuluh", "Seratus", dan "Seribu" telah diguna menggantikan ejaan Melayu lama.


Contoh duit siri 1 yang pertama dikeluarkan ( Lihat No. Siri Duit tersebut )

  • Siri 1 - Jenis 3 ( 1976 - 1981 )
Cetakan tandatangan oleh Tun Ismail Bin Mohamed Ali, dan sedikit pertukaran pada tanda "$1" di bahagian bawah sudut kiri telah dialih, dan tanda kecil Dollar 1 "$1" dibahagian atas sudut kiri diperkenalkan.


Inilah Duit $1 yang telah diubah kedudukannya dan tercetak tandatangan Tun Ismail Bin Mohamed Ali.

  • Siri 1 - Jenis 4 ( Tahun 1981 -1983 )
Pada tahun ini Gabenor yang baru telah dilantik iaitu Tan Sri Dato' Abdul Aziz bin Haji Taha.

Contoh Duit yang tercetak tandatangan Tan Sri Dato' Aziz bin Haji Taha

Sekiranya ingin melihat lebih lanjut Siri 1 - Jenis 1-4 cetakan $1 - $1000 sila klik disini


  • Siri 2 - Jenis 1 ( Tahun 1982 - 1984 )
Pada duit siri ini masih tercetak tandatangan Tan Sri Dato' Aziz bin Haji Taha.
Pada tahun ini juga "Blind Mark" diperkenalkan dan diletakkan di sebelah atas sudut kiri, dan nombor siri duit di tulis melintang di bawahnya.


Contoh duit yang terdapat padanya "Blind Mark" dibahagian atas sudut kiri.

  • Siri 2 - Jenis 2 ( Tahun 1986 - 1995 )
Pada siri ini telah dimasukkan ciri keselamatan baru, dan setiap duit telah tercetak tandatangan Gabenor yang keempat iaitu Tan Sri Dato' Jaafar Bin Hussein.
"Blind Mark" telah dialihkan, dan nombor siri duit dicetak secara menegak dengan warna merah.

Contoh duit yang dicetak secara menegak dan ditandatangani oleh Gabenor keempat.

  • Siri 2 - Jenis 3 ( Tahun 1995 - 1998 )
Pada siri ini tidak banyak perubahan pada rekaan, cuma Gabenor baru telah dilantik iaitu Tan Sri Dato' Ahmad Mohd Don selaku Gabenor yang kelima.


Contoh Duit yang tercetak tandatangan oleh Gabenor yang kelima.

Sekira ingin melihat lebih lanjut Siri 2 - Jenis 1-3 dari cetakan $1-$1000 sila klik disini


  • Siri 3 - Jenis 1 ( Tahun 1996 - 1998 )
Pada duit siri ini kebanyakan telah berubah dari segi rekaan dengan bertemakan semangat Wawasan 2020 dan ciri keselamatanya jauh lebih baik dan Gabenornya masih sama iaitu Tan Sri Dato' Ahmad Mohd Don dan tandatangannya terletak disebelah bawah sudut kiri.
RM2 adalah duit pertama yang telah dilancarkan pada tahun 1996, pada tahun 1997 RM10 diperkenalkan. RM50 dan RM100 pula pada tahun berikutnya.
Duit syiling $1 telah dimansuhkan dan diganti dengan duit kertas RM1.



Contoh Duit yang mempunyai tandatangan Tan Sri Dato' Ahmad Mohd Don

Contoh Duit RM1 yang menggantikan Duit syiling $1

  • Siri 3 - Jenis 2 ( Tahun 1999 )
Pada siri ini tiada perubahan pada duit, cuma Tan Sri Dato' Seri Ali Abul Hassan dilantik menjadi Gabenor yang keenam, dan tandatangan beliau tercetak dibahagian yang sama.


Contoh duit yang tercetak tandatangan Tan Sri Dato' Seri Abul Hassan

  • Siri 3 - Jenis 3 ( Tahun 1999 )
Pada siri ini Gabenor masih lagi sama, cuma perubahan berlaku pada kedudukan tandatangan Gabenor telah diubah dibahagian tengah duit.
Duit RM1 telah menjadi pengenalan bagi kedudukan tandatangan dibahagian tengah ini.
Contoh Duit yang telah diubah kedudukan tandatangan Gabenor

  • Siri 3 - Jenis 4 ( Tahun 2000 )
Pada tahun 2000 Gabenor wanita pertama telah dilantik iaitu Tan Sri Dato' Seri Dr. Zetty Akhtar Aziz, dan kedudukan tandatangan beliau tercetak di bahagian tengah duit.
Pada tahun 2004 Siri 3 - Jenis 5, RM10 telah dinaik taraf ciri keselamatannya dengan menambah garisan holografik secara menegak dibahagian kanan duit tersebut namun rekaan serta kedudukan tandatangan masih lagi sama.


Contoh duit yang tercetak tandatangan Tan Sri Dato' Seri Dr Zetty dan Ciri keselamatan Holografik.

Sekiranya ingin melihat lebih lanjut Siri - 3 sila klik disini


  • Siri 4 - Jenis 1 ( Tahun 2007 )
Gabenor pada siri ini masih dijawat oleh Tan Sri Dato' Seri Dr Zetty Akhtar Aziz.
Pada 21 Disember 2007 Bank Negara telah mengumumkan rekaan terbaru duit RM50 yang membawa tema "Misi Negara". 50 Juta cetakan RM 5o baru terdapat gambar Perdana Menteri Malaysia Pertama, Tuanku Abdul Rahman Putra Al-Haj di tempat bersejarah laungan kemerdekaan dan logo 50 tahun kemerdekaan di bahagian belakang duit tersebut.



Contoh duit RM50 yang baru tercetak tandatangan Gabenor di tengah dan gambar Perdana Menteri Pertama dibahagian belakang duit.

Sekiranya anda ingin tahu lebih lanjut tentang Siri 4 - Jenis 1 sila klik disini

http://malaysianbanknotes.blogspot.com/

Wednesday, June 16, 2010

The Singing Lawyer

Hari ini saya bukan nak menceritakan tentang Blangkon atau pun pakaian tradisional lagi,
cuma saya tidak dapat melupakan sebuah lagu yang menjadi lagu latar untuk satu babak di dalam cerita melayu yang disiarkan di TV3 ( kalau saya tak silap ). Lagu itu bagi saya sungguh menyentuh perasaan. Apabila saya mendengar dan cuba mencari tajuk dan penyanyi di dalam internet, Saya tidak menyangka lagu itu adalah milik Allahyarham Dato' Sudirman Haji Arshad kerana lagu itu jarang dimainkan di dalam radio atau pun di televisyen. Tajuk lagu tersebut ialah Antara Hujan dan Airmata. Penyanyi yang popular dengan lagu Chow Kit Road, Merisik Khabar,
Balik Kampung dan lagu yang popular dimainkan ketika hari kemerdekaan iaitu lagu 31 0gos, sehingga kini masih di hati peminatnya.

Sudirman yang lahir pada hari Rabu, 25 Mei 1954 di Temerloh Pahang, sangat aktif disekolah dan banyak menyertai pelbagai aktiviti antaranya bersyair, berpidato dan bersukan. Pada tahun 1976 beliau mendapat tempat di Universiti Malaya dengan melanjutkan pelajaran dalam Fakulti Undang-undang, menerima Ijazah undang-undang (LL.B) dengan mendapat Kepujian Kelas Ketiga ( 1980 ), dan diiktiraf sebagai peguam pada tahun 1984.

"The Singing Lawyer" ini meninggalkan bidang guaman kerana memilih bidang seni sebagai kerjayanya, dan mula mencipta namanya sebagai penyanyi apabila dia berjaya merebut gelaran Johan Bintang RTM peringkat akhir yang diadakan di Melaka pada 11 Ogos 1976. Allahyarham suka membawa lagu yang berunsur Nasihat, Anak Muda, dan Semangat Patriotik. Kerjayanya sebagai artis tidak kurang hebatnya seperti Konsert Di Chow Kit Road sehingga menempa namanya di dalam Malaysia Book of Record kerana berjaya memikat 100ribu peminatnya berpusu-pusu datang melihat konsertnya di jalan tersebut.

Bakatnya bukan sahaja dibidang nyanyian, malah beliau pandai melukis kartun dan seorang penulis. Sudirman juga pernah berlakon filem yang bertajuk Kami dan memegang watak Tookoo ( seorang remaja 17 tahun ). Sudirman pernah menubuhkan Sudirman Usaha Dagang Industri (SUDI) Sdn Bhd dengan modal kira-kira RM3 juta, yang mengeluarkan minuman tin berkarbonat jenama Sudi. dan usahanya tidak terhenti setakat itu, beliau meluaskan lagi dengan mengeluarkan produk makanan dalam tin serta minyak masak. Perusahaannya di tutup pada 1991 kerana beliau sakit.

Tanggal 22 Februari 1992, beliau telah kembali ke Rahmatullah di rumah kakaknya di Kuala Lumpur setelah 7 bulan menghidap penyakit pneumonia. Ramai peminat termasuklah Perdana Menteri ketika itu iaitu Dato Seri Dr Mahathir Mohammad menziarahi jenazah beliau di Temerloh, dan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kg. Chengal, Temerloh.



Sumber Dari:
http://ms.wikipedia.org/wiki/Sudirman_Hj_Arshad

Video Dari:
Youtube.com ( Sudirman - Antara Hujan dan Airmata )

Tuesday, June 15, 2010

Apakah Itu Blangkon?

Blangkon???
Sebenarnya saya juga pertama kali mendengar perkataan itu, setelah pak cik saya sendiri telah memberi saya Blangkon yang dibeli dari Indonesia. Mungkin anda juga tertanya apakah itu Blangkon??
Blangkon adalah salah satu bahagian pakaian tradisional orang jawa yang fungsinya sama seperti songkok, kopiah, serban, dan sebagainya yang digunakan sebagai tutup kepala oleh kaum lelaki pada umumnya, dan biasanya fabrik yang digunakan adalah seperti batik. Bentuk Blangkon ada beberapa jenis, antaranya bentuk Blangkon menonjol pada bahagian belakang, yang kononnya tonjolan (mondholan) ini menggambarkan model rambut orang jawa (lelaki) zaman dulu, yang sering mengikat rambut panjang mereka di bahagian belakang kepala, sehingga bahagian tersebut tersembul di bahagian belakang blangkon. Tetapi kini lilitan rambut yang panjang sebagai tonjolan ( modholan ) itu telah dimodifikasi dengan membuat tonjolan ( modholan ) yang telah dijahit terus pada Blangkon, kerana pada zaman kini kebanyakan lelaki berambut pendek
.
Gaya
Blangkon yang biasa dipakai ialah gaya Surakarta (Solo) dan gaya Yogyakarta, Warisan dan bentuk Blangkon ini tidak berubah dari dahulu hingga ke hari ini. Cuma pada era akhir 2002, di Yogyakarta ramai golongan muda menggunakan Blangkon berekor.
Kumpulan Blangkon berekor ini merupakan anggota pasukan Pamswakarsa. Sebuah organisasai pengamanan bernama Paguyuban Nunggal Karso. Paguyuban yang konon diketuai bekas preman ini sengaja dibentuk untuk mengatasi tingginya angka jenayah terutama di Kecamatan Gedongtengen.

Ada Beberapa teori yang menyatakan bahwa pemakaian Blangkon merupakan pengaruh dari, budaya Hindu dan Islam yang diserap oleh orang Jawa. Menurut para pengkaji, orang Islam yang masuk ke Jawa terdiri dari dua etnik ( bangsa ) iaitu keturuan Cina dari Daratan Tiongkok dan para pedagang Gujarat. Para pedagang Gujarat ini adalah orang keturunan Arab, mereka selalu memakai serban, iaitu kain panjang dan lebar yang diikatkan di kepala mereka. Dan dari situlah orang Jawa mendapat inspirasi untuk membuat tutup kepala yang dipanggil Blangkon.

Pendakian Gunung Jerai

Pemandangan Di Puncak Gunung Jerai


Pada 19 Mac 2010, Unisel Mountain Adventure Groups telah menganjurkan aktiviti mendaki Gunung Jerai, yang disertai hampir 150 pelajar. Saya juga turut menyertai aktiviti yang mencabar ini. Inilah kali pertama saya mengikuti aktiviti mendaki selama saya belajar di Unisel,


Sedikit tentang Gunung Jerai, ianya merupakan sebuah gunung yang terdapat di negeri Kedah Darul Aman, Malaysia. Terletak di antara sempadan daerah Kuala Muda dan Yan. Tingginya pula mencecah 1,217 meter. Ianya dikenali juga dengan nama Puncak Kedah.
Asal Usul Gunung ini tidak banyak saya ketahui,Kedudukan gunung Jerai yang menganjur ke Tanjung Jaga di pinggir laut ini, menjadikannya sejak berabad sebagai panduan pelayar silam yang singgah berdagang di negeri ini. Ada yang mengaitkan gunung Jerai ini dengan mitos Raja Bersiong yang dikatakan membuka penempatan di kaki gunung ini.
Dikatakan sebuah batu besar berbentuk sebuah kapal wujud di puncak gunung ini. Penduduk tempatan disitu mengelarnya "Batu Kapal". Menurut lagenda, kapal tersebut adalah kepunyaan Maharaja Merong Mahawangsa yang telah disumpah oleh Sang Kelembai ketika Maharaja tersebut cuba melabuhkan kapalnya di Pulau Serai, nama asal bagi Gunung Jerai.

Sumber dari: http://ms.wikipedia.org/wiki/Gunung_Jerai
Gambar dari:Miss Myra & Miss Lea

Monday, June 14, 2010

My 1st Post


Salam.. Apa khabar? terima kasih kerana sudi mengunjungi blog saya ini. Tujuan blog ini diterbitkan kerana ingin berkongsi idea, ilmu, aktiviti atau mungkin luahan perasaan.. haha..
Untuk permulaan ini mungkin segala info di dalam blog ini agak suram, kerana saya masih baru di dalam dunia blogger ini..
InsyaAllah sekiranya ada info yang berguna untuk dikongsikan, saya akan memaparkannya disini untuk tatapan anda semua.
Sekian. Terima Kasih